Category: Informasi

DIESEL DI MALAYSIA

Di Malaysia, selain penggunaan bahan bakar jenis petrol, terdapat juga minyak Diesel digunakan untuk kenderaan yang digunakan. Enjin diesel telah dicipta pada tahun 1892 oleh seorang pemuda berbangsa Jerman, Rudolph Diesel. Enjin ini merupakan sejenis enjin pembakaran dalaman yang beroperasi melalui kitar diesel. Pada masa kini, enjin diesel banyak digunakan pada kenderaan berat seperti lori, bas dan kenderaan industri. Diesel yang dijual di Malaysia mempunyai kandungan sulfur yang tinggi. Malaysia menjual minyak diesel gred B7, di mana 7 peratus ialah minyak kelapa sawit dan 93 peratus ialah minyak mineral diesel.

 

Perbandingan di antara enjin diesel dan petrol antaranya ialah enjin diesel menggunakan suntikan bahan api manakala enjin petrol menggunakan karburetor atau suntikan bahan api. Di samping itu, enjin diesel mempunyai kelajuan enjin yang rendah, lebih cekap serta lebih tahan lama. Dari segi harga juga, diesel lebih mahal berbanding petrol. Enjin diesel memerlukan ketahanan yang tinggi bagi menahan tekanan mampatan diesel pembakaran yang tinggi, teknologi seperti pengecas turbo yang meningkatkan prestasi dan rawatan ekzos tambahan diperlukan untuk memastikan pelepasan udara bersih.

 

Kelebihan diesel adalah pada penggunaan bahan api yang rendah terutamanya pada model SUV yang besar di mana perbezaan penggunaan enjin diesel dan petrol jauh lebih hebat. Enjin diesel boleh menjadi lebih berkesan kerana bahan apinya membakar pada suhu yang lebih tinggi daripada petrol. Tetapi kepadatan tenaga yang lebih tinggi diesel bermakna ia juga boleh mengeluarkan lebih asap hitam.

 

Salah satu kelemahan utama enjin model diesel dahulu adalah pecutan yang perlahan dan rumit. Walau bagaimanapun, kemajuan terkini dalam teknologi diesel telah hampir menghapuskan kelemahan itu dan telah mencipta enjin diesel peribadi dengan pecutan yang mampu menyaingi petrol.

Apa RON 97?

Kerajaan telah mengumumkan minyak petrol RON97 sebagai petrol premium pada 1 September 2009. Harga petrol RON97 yang dijual adalah lebih tinggi berbanding RON95. RO97 bermaksud hanya tiga peratus kandungannya adalah pentana dan selebihnya oktana. Dakwaan mengatakan semakin tinggi RON adalah lebih baik dan mampu menghasilkan enjin yang lebih berkuasa adalah tidak benar. Rata – rata pengguna menganggap RON97 menghasilkan lebih banyak kuasa berbanding RON95. Realitinya, lebih tinggi nilai RON, lebih sukar bahan api dibakar. RON hanya merujuk kepada kemampuan bahan api untuk menahan ketukan semata-mata.

Secara hipotesisnya, semakin tinggi nombor RON, semakin tinggi bilangan rantaian hidrokarbon. Semakin tinggi bilangan rantaian hidrokarbon, semakin lama ia mampu bertahan ketika dimampatkan dalam enjin sebelum ia terbakar. Semakin lambat terbakar, semakin tinggi tenaga yang terhasil dari pembakaran bahan api. Semakin tinggi tenaga yang terhasil untuk setiap pembakaran, semakin jimat penggunaan bahan api. Jadi, ramai yang menyatakan penggunaan RON97 adalah lebih jimat berbanding RON95 walaupun harganya lebih mahal.

Pernyataan di ayat akhir perenggan sebelum ini juga adalah TIDAK BENAR. Setiap kenderaan mempunyai keupayaan enjin yang tersendiri. Jenis enjin yang berbeza, maka kadar pemampatan (compression) bahan api juga berbeza. Cara terbaik untuk menentukan minyak bagi model kenderaan yang digunakan adalah dirujuk pada manual yang diberikan pengeluar kenderaan tersebut. Pada manual tersebut dicatatkan Rating Octane minimum yang boleh digunakan oleh kenderaan.

Selain itu, penggunaan minyak RON97 untuk kenderaan yang sepatutnya menggunakan RON95 tidak akan menambahkan jarak yang boleh dilalui. Sesetengah kenderaan dilengkapi dengan sistem computer iaitu ECU (Electronic Control Unit) yang akan mengawal jumlah bahan bakar yang diperlukan dalam sesuatu masa serta mampu membezakan gred bahan api yang digunakan.

Kebiasaannya enjin kenderaan yang mahal memerlukan minyak yang lebih berkualiti kerana enjinnya diciptakan memerlukan kapasiti yang besar dan kadar mampatan yang lebih tinggi. Salah satu model kenderaan yang dicadangkan perlu menggunakan petrol RON97 adalah Honda Civic Type R kerana enjinnya yang berprestasi tinggi dan tinggi kadar kemampatannya. Contoh model kenderaan lain adalah seperti Evo, Impreza, dan Skyline. Kesimpulannya, RON ialah berdasarkan kesesuaian enjin, bukan kualiti semata-mata.

Apa RON 95?

Di Malaysia, klasifikasi kelas bahan bakar petrol dibahagikan kepada dua kelas utama iaitu RON95 dan RON97. Kerajaan telah memperkenalkan minyak petrol RON95 bagi menggantikan RON92 pada 1 September 2009. Apakah maksud RON? RON atau Research Octane Number merupakan campuran dua unsur asas iaitu oktana dan pentana yang menghasilkan bahan bakar petrol. RON95 bermaksud 95 peratus kandungannya ialah oktana dan selebihnya pentana. RON95 menawarkan kualiti dan prestasi yang sama hebatnya dengan petrol RON97. RON95 juga menjadi pilihan rakyat Malaysia dalam menggunakan petrol bagi kenderaan milik masing – masing. Sehingga kini, petrol RON95 diakui penggunaanya tanpa sebarang masalah atau kehilangan kuasa memecut.

Salah satu kelebihan jangka panjang dengan penggunaan RON95 ialah apabila Malaysia memenuhi spesifikasi Euro 2M, proses penerimaan teknologi baru yang lebih cekap dan mesra alam daripada Eropah akan menjadi lebih mudah. Hampir semua pengedar dan pengeluar kereta terutama di negara Eropah telah mengeluarkan kenyataan mengenai kesesuaian model kereta yang dikeluarkan dengan penggunaan petrol RON95.

Syarikat Pengeluar Kereta Naza mengakui bahawa RON95 sesuai bagi kereta Naza Ria, Naza Citra, Naza Suria, Naza Citra II Rondo, Kia Sportage, Kia Carnival, Kia Carens, Kia Picanto, Kia Optima, Kia Spectra5, Kia Spectra, Kia Rondo, Naza 206 Bestari, Peugeot 206, Peugeot 407, Peugeot 308 Turbo, Peugeot 308Vti dan Naza Forza. Hal ini turut diakui oleh UMW Toyota Motor bahawa petrol RON95 sesuai bagi kegunaan semua kenderaan Toyota dan Lexus yang dijual oleh syarikat itu.

Manakala pengedar eksklusif kenderaan Toyota dan Lexus di Malaysia turut menyatakan bahawa pemilik kereta yang menggunakan petrol RON97 sebelum ini boleh beralih kepada RON95 tanpa perlu bimbang akan masalah kerosakan enjin atau hilang prestasi.

Penggunaan RON yang betul untuk enjin kenderaan boleh dirujuk di dalam manual pemilik atau pada pelekat yang terdapat pada penutup tangki minyak. Honda Malaysia juga mengumumkan bahawa semua model yang diedarkan oleh syarikat itu serasi dengan minyak petrol RON95. Honda Malaysia turut memberikan jaminan kepada semua pemilik kenderaan itu bahawa RON95 tidak akan menjejaskan mana-mana model Honda yang dibeli.

HARGA PETROL DI MALAYSIA

Kadar harga petrol di Malaysia memberi impak yang amat besar kepada kehidupan rakyat Malaysia. Jika harga petrol naik, rakyat Malaysia sangat terkesan dan sensitif apatah lagi kos sara hidup kini semakin bertambah termasuk harga barang keperluan harian. Sebaliknya, jika harga petrol turun, rakyat Malaysia sangat bersyukur dan gembira kerana banyak kos boleh dijimatkan walaupun penurunan hanya sekadar RM0.10 selitar. Kadar turun dan naik harga petrol sangat berkait rapat dengan kemampuan pengguna, kemampuan pengguna pula adalah bergantung kepada pendapatan.

Berdasarkan pendapatan per kapita rakyat Malaysia yang rendah, rakyat Malaysia terpaksa belanja lebih banyak berbanding pendapatan mereka. Bagi penggunaan petrol, rata – rata rakyat Malaysia menggunakannya secara harian untuk pergerakan keluar dan pulang bekerja, berniaga, belajar dan menjalani urusan seharian yang lain. Walaupun bukan digunakan untuk kenderaan milik sendiri, jika harga petrol meningkat, ini memberikan kesan kepada keseluruhan jenis pengangkutan yang terdapat di Malaysia termasuklah pengangkutan awam di mana kadar tambang juga akan meningkat bagi menampung kos petrol yang meningkat tersebut.

Walaupun harga minyak mentah di pasaran dunia semakin naik di mana merupakan peluang yang baik untuk Malaysia mengeksport minyak mentah. Namun, kenaikannya tidaklah sampai 9.5 peratus seperti kenaikan harga petrol pada 1 Februari lalu. Hal ini kerana harga runcit petrol di Malaysia bukan berasaskan harga minyak mentah tapi harga minyak yang diproses. Selain kenaikan harga minyak mentah, rakyat Malaysia juga terpaksa menanggung beban kejatuhan kadar tukaran ringgit. Nilai ringgit sudah merosot lebih 20 peratus berbanding dolar. Inilah yang dikatakan beban yang ditanggung rakyat berkait rapat dengan kemampuan dan pendapatan rakyat. Secara umumnya, semakin mahal harga petrol maka semakin tinggi kos sara hidup.

Bermula 29 Mac 2017, kerajaan mengumumkan harga Petrol dan Diesel secara mingguan pada setiap hari Rabu dan harga baharu itu serta merta mula berkuatkuasa jam 12.01 awal pagi hari berikutnya iaitu Khamis. Harga petrol yang diumumkan secara mingguan sebenarnya dapat mengurangkan beban kerisauan kepada pengguna dan pengusaha stesen minyak kerana kadar turun naik harga tidak begitu ketara berbanding pengiraan secara bulanan. Ini kerana berdasarkan tempoh pengiraan bagi harga siling yang lebih pendek, selain perubahan berperingkat.